Thursday, August 20, 2009

Pusat kemahiran Katolik untuk para belia menganggur

COLOMBO: Di tengah-tengah krisis ekonomi dunia, sekumpulan kaum muda yang masih menganggur tetap bersyukur kerana Gereja menyediakan latihan pekerjaan.

Pengangguran tinggi di Sri Lanka disebabkan oleh peperangan sivil yang berlangsung selama beberapa abad dan krisis ekonomi yang merundum. Keadaan ini telah mendorong Komuniti La Salle Pelayanan Pendidikan (LCES) di Mutwal Colombo, untuk membantu kaum muda untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka di dalam pencarian pekerjaan.

Seorang remaja lelaki Katolik berusia 18 tahun, Vethanayagam Justin menyatakan “Hanya terdapat sedikit sahaja pekerjaan di kampung saya yang sentiasa terlibat dengan perang. Saya terpaksa meninggalkan kampung dan berhenti belajar kerana perang.”

Justin ke Colombo di mana dia melakukan kerja-kerja sampingan. Justin dan 80 remaja lelaki yang lain menajamkan kemahiran dan keyakinan untuk mencari pekerjaan meskipun kadar pengangguran yang tinggi.

Pusat Vokasional anjuran Brother La Salle ini dibuka untuk para pelajar yang tercicir tanpa mengira agama, memberi latihan dalam pertukangan, membaiki paip, pengimpalan dan pendawaian untuk lelaki dan memberi latihan menjahit dan kemahiran kecantikan bagi para pelajar wanita.

Program yang bermula pada tahun 1981 dan sesi 18 bulan ini adalah percuma. Tempat tinggal dan makanan juga disediakan.

Pada Julai 31 hingga Ogos 1 yang lalu, satu pameran hasil kerja para pelajar telah diadakan. Justin, salah seorang yang terlibat amat bangga kerana dapat mempamerkan hasil dari kursus pengimpalan yang dipelajarinya.

“Ramai kaum muda yang tidak sabar, kurang bertolak ansur dan tidak berdisiplin akibat pengangguran,” kata Bro Arulapuu Mervin Lambert, salah seorang tenaga pengajar. “Pendidikan teknikal dapat menjamin seseorang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai,” katanya.

Pada penghujung kursus tersebut, sijil kehadiran dan perakuan akan diberi kepada para pelajar yang menamatkan kursus mereka.

Zuhara Fahim, 24 tahun, seorang wanita Islam yang telah berkahwin dan mempunyai dua orang anak, menyatakan bahawa LCES memberinya harapan untuk memulakan hidup baru.

Zuhara yang belajar kemahiran menjahit berasa yakin untuk membantu kewangan keluarganya. — UCAN

Dipetik dari http://www.heraldmalaysia.com

No comments:

Post a Comment