Tuesday, June 30, 2009

BMK 2009 - PERKONGSIAN IMAN KBK ST.PETER, PEMENTERIAN, NABAWAN.

Program Belia Masuk Kampung (BMK) yang telah berlangsung sepanjang 4 hari di Kg.Pementerian sememangnya telah memberikan suatu pengalaman yang cukup bermakna bagi semua umat dikampung ini. Secara peribadi, saya melihat program ini sebagai suatu program yang telah berjaya menyuntik semangat baru kepada para umat untuk terus percaya kepada segala rencana Tuhan dan sebagai belia, kami juga seperti telah diberi kekuatan dan keberanian untuk terus melayani di ladang Tuhan yang luas ini. Sebagai salah seorang umat di kampung ini, saya sangat-sangat bersyukur adanya program seumpama ini kerana ia sememangnya telah banyak membantu bukan sahaja didalam perkembangan iman para umat tetapi disamping itu, ia juga banyak mendedahkan kepentingan untuk menyeimbangkan taraf pendidikan dan juga pembangunan rohani bagi setiap individu khususnya para pelajar dan kepada ibubapa amnya.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh para peserta BMK antaranya ialah aktiviti untuk kanak-kanak, belia dan juga ibubapa. Walaupun aktiviti-aktiviti tersebut hanya dijalankan dalam jangka masa yang begitu singkat namun saya dapat merasakan keberkesanannya adalah begitu mendalam sekali kepada umat-umat kampung ini. Sebagai seorang belia, saya telah mempelajari banyak perkara terutamanya melalui perkongsian iman daripada peserta BMK sendiri yang mana mereka telah mengongsikan pengalaman-pengalaman iman mereka daripada pelbagai aspek yang walaupun kelihatan remeh tetapi begitu mencabar sekali. Saya juga sangat tertarik dengan perkongsian alkitab yang sememangnya benar-benar telah menyentuh hingga ke dasar hati saya, "Gembalakanlah domba-dombaKu", dua perkataan ini nampak begitu ringkas sekali tetapi sangat indah untuk direnungkan dan sangat bermakna untuk dinilaikan. Inilah yang telah memberikan saya lebih kekuatan dan semangat untuk saya meneruskan pelayanan dirumah Tuhan kerana saya percaya bahawa Tuhan mencipta kita bukan secara kebetulan tetapi atas rencana yang telah ditetapkan.

Sekali lagi, saya benar-benar bersyukur atas kesempatan menjalani kehidupan bersama para peserta BMK yang telah banyak membantu saya untuk lebih memahami akan rencana dan cintakasih Tuhan dalam hidup saya. Melalui mereka, Tuhan telah menunjukkan betapa Dia tidak pernah membiarkan umat-umatNya melangkah sendirian. Syukur dan puji Tuhan. Akhir kata, saya meletakkan harapan yang begitu besar agar program BMK yang akan datang terus memilih kampung ini sebagai destinasi mereka. Semoga melalui program BMK ini kita semua dapat terus berjalan bersama dalam terang dan cintakasih Tuhan kita Yesus Kristus. Amen.

ELVIE ALEXANDER
KBK ST.PETER, PEMENTERIAN
NABAWAN.

Para peserta BMK di Kg. Pementerian, Nabawan.

No comments:

Post a Comment